Anifah Lakukan Lawatan Kerja Ke Bahrain Esok

. Sabtu, 15 Februari 2014

KUALA LUMPUR – Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Bahrain mulai esok untuk menghadiri Mesyuarat Ke-12 Menteri-Menteri Luar Dialog Kerjasama Asia (ACD-FMM).

Beliau juga dijadualkan menghadiri Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar Asean-Majlis Kerjasama Teluk ke-3l (Asean-GCC FMM).

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, kedua-dua mesyuarat itu akan berlangsung di Manama.

Anifah juga akan bertemu dengan Menteri-menteri Luar lain untuk membincangkan isu-isu dua hala dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Mesyuarat ACD FMM bertema ‘Promoting Intra-Asian Tourism’ akan menumpukan perbincangan terhadap langkah menggalakkan pelancongan di benua Asia menerusi kertas konsep yang dicadangkan Bahrain selaku tuan rumah.

Isu-isu lain seperti keselamatan tenaga, kesalinghubungan serantau, mempromosikan perdagangan dan pelaburan, keganasan serta keselamatan maritim juga akan dibincangkan semasa mesyuarat itu, menurut kenyataan itu.

Malaysia merupakan negara anggota yang aktif dalam ACD sejak ditubuhkan pada 2002 di Thailand.

Pada masa ini, ACD mempunyai 33 negara anggota dari lima sub-benua Asia iaitu Timur Tengah, Asia Tenggara, Asia Timur, Asia Selatan dan Asia Tengah.

Di akhir mesyuarat itu, Menteri-Menteri Luar ACD akan memperakukan satu dokumen tinjauan, iaitu Deklarasi Manama yan menggariskan isu-isu yang telah dibincangkan dan keputusan yang telah dipersetujui semasa mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, Menteri-menteri Luar Asean-GCC pula dijangka membincangkan hala tuju kerjasama yang lebih erat dan kerjasama dalam bidang-bidang berpotensi antara Asean dan GCC.

Pelan Tindakan Dua Tahun Asean-GCC (2010-2012) yang diperakukan pada Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar ke-2, telah dilanjutkan setahun lagi (2012-2013).

Pelan itu mengenal pasti empat bidang keutamaan kerjasama iaitu perdagangan dan pelaburan, tenaga, keselamatan makanan dan pelancongan. – BERNAMA

0 komentar: